sambil duduk mendengar lagu,mengimbau kenangan lama dapat ditemuramah oleh wartawan kosmo.....
17 terima biasiswa BATAHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
NASURUDEEN MOHAMED FAROUK, 18, mempunyai cita-cita yang cukup besar. Atas minat yang tidak berbelah bahagi, anak kepada peniaga kedai runcit ini mahu menjadi seorang juruterbang.Memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nasurudeen terus komited untuk mencapai impiannya. Selepas menempuh pelbagai sesi ujian dan temuduga, dia akhirnya diterima melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam jurusan penerbangan di Asia Pasific Flight Training yang berpengkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Lebih manis lagi, pemergiannya ke sana dibekalkan dengan biasiswa tajaan British American Tobacco (BAT). Selaku salah seorang individu yang terlibat dalam lingkungan perniagaan BAT, Nasurudeen layak menerima biasiswa tersebut kerana ayahnya seorang peniaga kedai runcit yang turut menjual produk tembakau keluaran syarikat tersebut.
“Saya berasa sangat gembira dan puas kerana dipilih sebagai salah seorang penerima biasiswa. Terima kasih kepada BAT, keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantu.
“Memang sejak kecil lagi saya berminat untuk menjadi juruterbang. Lagipun, bukan semua orang boleh buat kerja ini. Proses pemilihannya juga ketat. Saya terpaksa menjalani pelbagai ujian termasuklah ujian psikomotor, fizik, bahasa Inggeris, matematik dan IQ,” katanya yang akan memulakan pengajian pada bulan Februari 2008.
Kegembiraan itu turut dikongsi oleh seorang anak penanam tembakau dari Bachok, Kelantan. Muhammad Redzuan Saidi, 20, memberitahu, biasiswa yang diterima itu amat membantu dalam meringankan beban keluarga untuk menampung kos pengajiannya di universiti.
“Kos sara hidup di Kuala Lumpur begitu tinggi. Sebelum ini, saya guna wang pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk membayar yuran pengajian dan perbelanjaan harian.
“BAT juga bukan setakat beri biasiswa, tetapi ada juga menganjurkan sesi seminar atau bengkel untuk melatih kemahiran beroganisasi dan bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Satu lagi, minimum pencapaian peperiksaan ialah 2.8 PNGK. Jadi, saya perlu pastikan bahawa keputusan peperiksaan lebih baik daripada itu,” kata pelajar Tahun Dua jurusan Sains Matematik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Bapanya, Saidi Ahmad, 47, tidak putus-putus menyatakan rasa syukur atas anugerah biasiswa tersebut.
“Bersyukur sangat apabila mendapat tahu bahawa Redzuan dipilih sebagai penerima biasiswa BAT. Tanggungan saya masih ramai, pendapatan sebagai penanam tembakau pun bukanlah mewah sangat.
“Cabaran utama menjadi penanam tembakau ialah terpaksa berdepan dengan cuaca yang tidak menentu. Dengan tuaian tanaman dua kali setahun dan purata jualan hanya RM10,000, bukannya cukup untuk menampung segala keperluan anak-anak,” jelas Saidi yang berpengalaman lebih dua dekad menanam tembakau.
Dalam majlis bertemakan Enabling Endless Possibilities itu, BAT telah menganugerahkan biasiswa kepada 17 orang pelajar pusat pengajian tinggi. Mereka terdiri daripada komuniti jualan, penanam tembakau pekerja dan anak kakitangan syarikat itu sendiri.
Sebenarnya, pemberian biasiswa kepada mereka yang layak di bawah Yayasan BATM ini telah bermula sejak lebih dua dekad lalu.
“BAT percaya tiada pemberian yang lebih baik daripada pendidikan kerana ia mampu menjadi permulaan kepada seribu peluang. Pendidikan membuka minda kita kepada jaringan informasi dan idea, sekali gus mencabar setiap individu untuk berfikir secara berbeza serta kreatif.
“Maka, melalui pemberian biasiswa kepada mereka yang berpotensi, BAT berharap para pelajar ini akan mampu mencapai apa jua cita-cita mereka, di samping memberi sumbangan kepada pembangunan negara,” kata Pengerusi Yayasan BATM yang juga Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jack Bowles.
Sejak tahun 1983, Yayasan BATM telah memberikan biasiswa yang melibatkan pelaburan melebihi RM13 juta. Tahun ini sahaja, biasiswa tersebut dikatakan bernilai hampir setengah juta ringgit.
Menurut Bowles, Yayasan BATM komited dalam menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu membina ekonomi berasaskan pengetahuan dengan memberi fokus kepada pembangunan modal insan.
Para penerima dipilih daripada permohonan yang diterima dari seluruh negara. Pemilihan dibuat menerusi penilaian ke atas latar belakang kewangan keluarga, keputusan akademik, perancangan kerjaya, kemahiran kepimpinan dan komunikasi pemohon.
Setiap pelajar ini disediakan dengan dana bagi setiap tahun pengajian tanpa sebarang ikatan perjanjian. Sehingga kini, seramai 1,900 orang pelajar telah memperoleh manfaat melalui pelbagai program bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh Yayasan BATM.
0 comments:
Post a Comment